Islam adalah Islam, tiada Hadhari................
Hentikan Debat Islam Hadhari
Thursday, July 5, 2007
Seruan dalam ruang Agama Mingguan Malaysia yang menganjurkan semua pihak “hentikan debat mengenai slogan dan istilah Islam Hadhari” benar-benar mengesahkan bahawa istilah itu telah mencetuskan banyak kekeliruan dan syak akan maksud dan tujuannya.
Kita sangat boleh bersetujulah dengan kenyataan Dr. Ismail Ibrahim yang berbunyi, “Islam itu satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika, bukan untuk orang UMNO atau PAS.” (Mingguan Malaysia 4 Julai 2004). Inilah pun yang selalu saya tegaskan. Saya boleh sahkan juga di sini bahawa apa yang dipetik oleh Dr. Ismail dengan mengambil kata-kata saya yang berbunyi, “Islam itu merangkumi Islam dan iman iaitu Islam di luar dan iman di dalam”adalah benar. Kata-kata saya yang berbunyi, “Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada Al-Quran dan Hadith adalah ditolak” seperti yang dipetik oleh Dr. Ismail selanjutnya juga adalah benar.
Jika semua kenyataan ini adalah benar, maka Islam dari jenis lain, yang tidak mahu sebut Al-Quran dan Hadith tentunya Islam kosmetik. Islam Hadhari cuma bercelak dan berbedak seperti yang diumpamakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.
Namun, pendapat saya mungkin berbeza sedikit apabila melihat anjuran Dr. Ismail supaya umat Islam menghentikan perbincangan atau perdebatan mengenai Islam Hadhari. Tidakkah berbincang, berbahas dan bermuzakarah adalah semangat Islam? Allah S.W.T. mengizinkan manusia berdebat dan bermuzakarah dalam apa jua perkara. Cuma hakimnya ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber pemutus yang qat’in.
Dalam semangat menjelas dan memberikan keterangan, apa yang PAS jadikan motto cuma berbunyi “Membangun Bersama Islam”. Kami tidak berhajat sedikitpun untuk mendefinisi semula Islam. Ia adalah Islam yang satu. Ia wajib asli. Ia mesti original seperti yang dilancarkan oleh Rasulullah S.A.W. kira-kira 1,425 tahun dahulu tanpa tokok tambah. Kita berpuas hati dan redha dengan Islam yang syumul, kamil dan komprehensif dan biar ianya kekal begitu sampai bila-bila. Jika kita perlu bangun, kita perlu bangun bersama dengan Islam. Jika saya pinjam kata-kata Dr. Ismail, “Islam yang hendak diberi kefahaman itu adalah Islam hakiki dan fundamental dimana asas komponennya terdiri dari akidah, syariah dan akhlak.” Inilahpun yang PAS sedang berikhtiar.
Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan telah memindahkan akaun Kerajaan ke dalam Bank Islam. Kerajaan Negeri juga mengeluarkan pekeliling dan kempen bagi menggalakkan amalan penutupan aurat. Kita juga menyediakan sistem pajakan alternatif secara Ar-Rahn. Kita wajibkan semua Rumah Awam Kos Rendah dibina dengan 3 bilik. Kita kawal premis penjualan arak. Kita tutup semua premis judi. Kita adakan kawalan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. Kita adakan Yayasan Islam Kelantan dan asaskan sistem pendidikan yang berpaksikan adab, akhlak, ilmu dan amal. Tidakkah usaha-usaha ini di asaskan di atas kesedaran akidah, syariah dan akhlak? Semuanya ini telah kita laku dan akan terus kita ikhtiarkan. Inilah membangun bersama Islam. Kami tidak ‘modify’ Islam atau mengistilahkan Islam dengan tokok tambah yang lain. Islam adalah Islam. Kami cuma menurut, patuh dan mengikut kehendak Islam untuk membangun.
Apa yang menimbulkan kesangsian ialah apabila Islam itu pandai-pandai dijenamakan dengan Islam Madani dan kini Islam Hadhari. Lepas satu jenama ke satu jenama; Islam itu diarak. Islam dibawa berpindah randah tanpa diketahui akan kepentingannya.
Tentunya apa yang mustahak ialah soal amalnya. Sekali lagi saya boleh bersetuju dengan Dr. Ismail yang menekankan faktor ilmu dan pengisiannya. Jika begitu, apa perlunya dipecah-pecahkan Islam kepada hadhari atau non-hadhari? Perlu apa pula dicerai-ceraikan Islam itu kepada pecahan-pecahan yang menyerupai sub-budaya (sub-culture) seperti Islam toleransi, Islam hikmah, Islam dinamik dan Islam Pembangunan. Inipun juga telah dipersoalkan oleh Dr. Ismail dengan kata-kata, apalah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun dan Islam toleransi?
Kita perlu faham yang setiap sesuatu perlu betul niatnya. Biar ada usul ‘zukhrina’ yang bererti cagaran. Jika suntuk dan kesukaran di akhirat, amal yang dilaksanakan di dunia boleh dijadikan cagaran di hadapan Allah.
Islam Hadhari Umno dan negara Islam yang diisytiharkan Umno ini bolehkah dijadikan cagaran? Negara Islam bagaimana jika tanpa apa-apa perubahan? Islam jenis ini yang menghalalkan arak, judi dan tiada halangan untuk bergaul bebas dan mendedahkan aurat dapatkah dijadikan cagaran di akhirat?
Hatta jika di dalam sembahyang yang riak pun tidak diterima oleh Allah kerana rosak niatnya maka bagaimana Islam Hadhari boleh dijadikan sandaran dan tempat bergantung untuk berhujah di hadapan Allah kelak? Niat mesti betul. Struktur mesti betul. Jangan main suka-suka.
Keadaan menjadi semakin kalut apabila Pemimpin UMNO mula di asak dengan pertanyaan. Mereka kelihatan mulai lemas. Mereka cuba mencari ulama’ setempat termasuk dari timur dan barat untuk menghalalkan konsep “hadhari”nya. Kalau hadhari itu bermakna tamadun, maka Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS telah membinanya dalam bentuk tindakan.
Sementara UMNO baru diperingkat cuba menjaja pakej Islam Hadharinya secara “direct selling”di tahun 2004, kami telah jauh berada beratus kilometer di hadapan dalam usaha-usaha pelaksanaan. Tunjukkanlah mana satukah diantara usaha yang dibuat oleh kami bersifat anti tamadun sebagaimana tamadun akhlak yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. Saya tidak ada masalah untuk mendengar kritikan jika ada bukti yang kami membangun dengan mengkhianati sifat-sifat akhlak seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W.
Jika mahu bertahan sangat dengan Islam Hadhari atau Islam tamadun yang kelihatan cuba dipaksa masuk ke kerongkong rakyat, maka kami tidak ada masalah. Kami telah menjadi pelopor sekurang-kurangnya sejak dari tahun 1990 lagi. Di masa itu, saya kurang pasti pemimpin UMNO sedang berada di mana! Kini, setelah 15 tahun berlalu, mereka sibuk berhadhari pula.
Belumpun selesai melumatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam, dan belumpun reda nafas kerana masih mengah mahu mengislamkan negara yang tidak juga-juga menjadi Islam; kini mereka mahu menjual jenis Islam dalam peket bedak hadhari! Yang kelirunya ialah rakyat. Mereka seakan-akan sengaja melontar bom asap dan dalam kelam asap itulah mereka melakar semula wajah Islam supaya selaras dengan nafsu sekular. Pada saya,Islam Hadhari itu adalah Islam sekular. Ia sejenis Islam yang di bancuh semula oleh Umno untuk memisahkan dunia dari akhirat.
Dalam hal ini, kita sesungguhnya amat kesiankan rakyat khususnya para penjawat awam. Merekalah yang sering menjadi mangsa dan kumpulan sasar untuk disyarahkan. Faham tak faham, itu perkara kedua. Mereka dikurung dalam kem latihan dan pelbagai dewan dan institut kefahaman di segenap ceruk rantau untuk disogok dengan Islam berbaju baru. Debat tidak perlu. Terima saja! Saya sesungguhnya khuatir. Jangan-jangan rakyat lebih faham apa itu Islam sebenar. Mereka lebih arif dari pemimpin Umno. Mereka lebih kenal jenis Islam saduran yang berwajah pepat mainan Umno. Bunganya lebat, wanginya tidak. Pisangnya hangus, masaknya tidak !
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Bertarikh : 24 Jamadil Awal 1425 / 12 Julai 2004
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home