HUKUM ISLAM, FITRAH & AKAL MANUSIA
Hukum Islam, Fitrah dan Aqal Manusia
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Islam adalah sebuah cara hidup yang amat bertepatan dengan fitrah manusia. Setiap hukum yang diletakkan oleh Allah SWT adalah bertujuan membawa kebaikan kepada manusia dan menjauhkan mereka dari kemudaratan samada yang dapat dilihat dan ditanggapi oleh pancaindera dan logik aqal manusia atau tidak.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut, tidak mungkin akan dijumpai satu arahan Allah dari sumber nas Al-Quran atau hadith nabi yang merupakan perkara mustahil. Jika ada, sudah tentu samada dalil dari hadith itu kurang sohih atau aqal manusia masih gagal mencari hikmah dan kebaikan yang terselindung disebaliknya. Hal ini juga telah lama disebut oleh Imam Izzuddin Abd Salam dalam Qawaid al-ahkam fi masalihil anam dan juga oleh Imam Ibn Taymiah dalam kitab khasnya yang menghuraikan isu ini.
"Tapi ustaz, ada juga beberapa benda yang Islam larang, tapi saya rasa memberi manfaat kepada manusia" tegas seorang doktor perubatan kepada saya di sebuah masjid selepas mendengar kuliah saya.
"Boleh bagi contoh" tanya saya
"Contohnya kenapa Islam perlu menghalang seorang wanita dalam ‘iddah berkahwin lain setelah bercerai dengan suaminya, jika Islam inginkan rahim isteri itu bersih dari suami, bagaimana jika sudah ada teknik yang boleh mengesahkan rahim tersebut tiada benih suaminya, adakah Islam akan haruskan?" Tanya doktor itu lagi.
"ye, masih dilarang" kata saya ringkas
"Itu lah yang saya maksudkan nampak macam bertentangan dengan kebaikan, sedangkan isteri tadi mungkin perlukan teman dengan segera agar tak terjebak dengan maksiat pula, malah rahimnya juga telah disahkan bersih" Hujah doktor tadi mengasak saya.
"Mudah saja, sebab Islam menghalalkan Ruju' (kembali) bagi suami selama masih dalam tempoh iddah, rujuk tidak perlu kepada aqad nikah baru. Tempoh ‘iddah adalah satu bentuk ‘masa istimewa' buat suami untuk memikirkan samada ia benar-benar tidak boleh bersama lagi dengan isterinya lagi atau ia tersilap membuat keputusan menceraikannya" saya menerangkan.
"Tempoh waktu ini amat diperlukan oleh fitrah manusia yang perlukan masa untuk menenangkan diri dan berfikir tentang sesuatu dengan lebih matang dan waras, keperluan ‘iddah bukan hanya bergantung kepada isu rahim kosong dari benih suami atau tidak sahaja, itu hanya salah satu dari objektif ‘iddah yang cuba dilontarkan oleh ulama mazhab Hanafi" Tegas saya lagi.
Ajar Utamakan Nas dari Logik
Sebab itulah saya kurang bersetuju untuk kita mendahulukan logik aqal ketika cuba menyakinkan orang ramai tentang sesuatu hukum. Sewajarnya, kita ajar dahulu mereka dengan dalil dan ketetapan Allah. Selepas itu barulah diiringi dengan tambahan logik itu dan ini. Jika diajar, setiap hukum dengan logik, satu hari..pendakwah Islam akan terperangkap.
Bayangkan, saya selalu dengar, bila ditanya :
"kenapa Islam haramkan makan babi"
Ada yang akan menjawab, kerana babi itu ada kuman yang sangat merbahaya, dia makan najis, kotor dan lain-lain.
Benar, ia jawapan yang sangat baik. Tapi bagaimana jika satu hari pembunuh dan penawar kepada kuman babi dapat dihasilkan. Adakah kita ingin mengatakan.
Oleh kerana kuman dan segala mudarat babi tu telah berjaya dihapuskan, kini ia jadi halal ?
Dalam hal hukum yang tidak bergantung kepada 'sebab musababb khas' atau yang disebut juga sebagai 'illah, maka janganlah kita mempopularkan hikmah dan logik disebalik arahan sebegini ( khasnya dalam bab ibadah). Ia akan mengelirukan kelak.
Pendakwah Islam perlu memikirkan cara untuk membajai iman yang teguh kepada Allah, kasih kepada Allah dan keyakinan kepada segala arahannya walaupun tanpa logik. Ia perlu dibina terlebih dulu sebagai Nabi Saw sentiasa ingatkan sahabatnya dengan akhirat dan kematian dalam apa jua keadaan. Adapun cara lanjutnya, sama-sama kita fikirkan.
Sebagai contoh cara lanjutannya, saya bersetuju dengan pendapat sahabat saya (www.saifulislam.com) yang specialized dalam bidang sikap, yang mengajak kita berfikir tentang akhlak sebagai salah satu cara berkesan dalam dakwah, jambatan kepada segala 'gap'. Kerana akhlak punyai kekuatan untuk mempengaruhi manusia walaupun tanpa logik. Punyai kekuatan pengaruhi manusia untuk tidak bersangka buruk bila di ajak.
Akhlak juga adalah salah satu punca untuk sampai kepada kasih. Orang berkasih, semua yang datang dari kekasihnya adalah baik. (Sebab tu ramai wanita yang kena rogol dengan orang yang dikenali dan dipercayainya - menurut statistik)
Demikian juga, bila sudah yakin dan percaya kepada kebijaksanaan dan rahmat belas Allah SWT, semuanya akan diterima samada ia logik atau tidak. Samalah macam bila sudah yakin dan kasih kepada seseorang alim, cakapnya akan lebih mudah diterima dari orang lain.
Demikian Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, yang menerima kebenaran Isra Mikraj baginda SAW walaupun ia tidak logik dek aqal, kerana ia adalah dari Muhammad Bin Abdullah yang amat amanah lagi berakhlak.
Fitrah, Tempoh Bertenang & Tidak Bertegur
Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa dengan sahabat seIslamnya yang lain dek kerana pergaduhan perkara keduniaan lebih dari 3 hari. Antara yang dimaksudkan pergaduhan kerana sebab dunia adalah kerana tanah, harta pusaka, rumah, tanam bunga masuk kawasan jiran, isu pangkat, isu cemburu wanita dan lelaki dan lain-lain yang tidak ada kaitan secara langsung kepada Islam.
Nabi SAW bersabda :
ولا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ
Ertinya : Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan ( tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari 3 hari" ( Riwayat Al-Bukhari, 5/2253)
Kenapa 3 hari?, inilah sifat fitrah dalam kerana Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menasihatkan agar jangan marah dalam sabdanya :-
سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ مَاذَا يباعدني من غَضِبِ اللَّهِ عز وجل قال لاَ تَغْضَبْ
Ertinya : Ditanya kepada Rasulullah SAW : Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT , jawab Nabi : Janganlah kamu marah " ( Riwayat Ahmad, 2/175)
Walaubagaimanapun, kemarahan tetap tidak dapat dielak secara total, justeru Islam memberikan motivasi dan cara bagaimana cara menangani marah dengan pelbagai cara. Apabila ia berkait dengan orang lain, Islam mengajar kita agar jangan terlalu terbawa-bawa sehingga memutuskan ikatan persaudaraan dan persahabatan hanya kerana kes marah & gaduh tadi.
Imam An-Nawawi menyebutkan :-
تحرم الهجرة بين المسلمين أكثر من ثلاث ليال بالنص وتباح في الثلاث بالمفهوم وإنما عفى عنه في ذلك لأن الآدمي مجبول على الغضب
Ertinya : "Diharamkan tidak bertegur sapa di antara Muslimin ( yang disebabkan punca pergaduhan dunia) lebih dari 3 hari secara jelas dari Nas hadith, dan secara mafhumnya difahami harus untuk melakukan itu (jika perlu) selama 3 hari, dan sesungguhnya dimaafkan sifat demikian kerana manusia sentiasa terbawa-bawa sifat marah" ( Syarah Sohih Muslim, 16/117)
Memang tidak mungkin untuk melenyapkan pergaduhan kerana keduniaan di antara sesama manusia, justeru Islam menggalakkan kemaafan antara satu sama lain.
Islam membenarkan tidak bertegur sapa untuk maksimum 3 hari sebagai memenuhi kehendak fitrah manusia, tetapi tidak lebih dari itu, kerana lebih dari tempoh tersebut akan membawa mudarat kepada ikatan dan keutuhan sesama Islam.
Di dalam kaedah Islam ditegaskan :-
فتقدم المصلحة العامة على الخاصة
Ertinya : "Kepentingan umum sentiasa di dahulukan atas kepentingan peribadi" ( Az-Zakhirah, 2/467 ; Al-I'tisam , As-Syatibi, 2/116 ; Al-Muwafaqat, 2/367)
Justeru, melayani kemarahan dan keegoan diri adalah kepentingan peribadi, jangan sampai ia melewati batas kepentingan umum. Kepentingan umum yang menjadi objektif Islam adalah masyarakat Islam yang berkasih sayang, bantu membantu dan objektif ini akan terhakis jika semua individu melayani kepentingan dan keegoan dirinya dalam hal ini lebih dari 3 hari.
Cuma perlu difahami, jika tidak bertegur sapa kerana berjauhan, kesibukan dan terputus komunikasi sehingga tidak dapat bertegur sapa lebih dari 3 hari, ia tidak termasuk dalam larangan Islam.
Hakim, Fitrah & Tempoh Bertenang
Islam sangat mengambil berat perihal keadilan di dalam sebarang penghakiman. Walaupun demikian, Islam amat memahami hal keadaan seorang hakim yang ditugaskan menjaga keadilan itu. Walaupun sehebat dan sebijak mana sekalipun ia, Islam masih meraikan kelemahannya sebagai manusia yang terbatas kemampuan dan perasaan. Sebagai contoh jelas, Nabi SAW bersabda :-
لا يقضينّ حكم بين اثنين وهو غضبان
Ertinya : Janganlah sesekali seorang hakim menetapkan sesuatu hukuman di antara dua orang (yang sedang bertelagah) dalam keadaan hakim itu sedang dilanda perasaan marah" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2616 ; An-Nasaie, 3/474 )
Hukum larangan ini bertujuan memastikan keadilan di capai dalam apa jua keputusan. Sebarang perasaan tidak sedia seorang hakim seperti marah, mengantuk, pening, lapar, ingin ke tandas dan lain-lain yang boleh menganggu keputusannya, perlu dijauhi di ketika membuat keputusan penting melibatkan keadilan dua pihak. Demikian disebutkan oleh Imam Ibn Daqiq Al-‘Id dan Imam Ibn Hajar Al-Asqolani (Fath Al-Bari, 13/137)
Hukum ini menunjukkan ketrampilan Islam sebagai sebuah agama fitrah, yang sangat memahami keadaan fitrah manusia yang lemah dan mudah terkesan dengan suasana fizikal dan mentalnya.
Aqal Manusia Tidak Mampu
Allah SWT juga menegaskan bahawa aqal manusia juga tidak sebegitu canggih untuk mengenalpasti setiap yang baik dan yang buruk untuk dirinya dengan tepat.
Firman Allah SWT :-
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Ertinya : "dan mungkin apa yang kamu benci itu adalah baik untukmu dan mungkin apa yang kamu sukai itu adalah buruk untukmu, Allah lebih mengetahui dan sesungguhnya kamu tidak mengetahuinya" (Al-Baqarah : 216)
Justeru, Islam sekali lagi mengajar kita agar tidak terlalu mengukur sesuatu menurut aqal semata-mata. Terdapat banyak perkara yang memerlukan penilaian iman bagi mencapai kebenaran.
Sedarilah, terlalu banyak perkara yang kelihatan baik untuk kita, menyebabkan sebahagian besar kita berasa marah apabila mengetahui ia adalah haram. Banyak pula perkara yang kita merasakan sukar dan tidak ‘best' tetapi ia wajib dijaga. Semuanya adalah untuk kebaikan kita.
"jangan makan tu" jerit seorang ibu kepada anaknya yang cuba makan sesuatu yang sudah basi.
"jangan keluar main waktu begini, panas ni tak elok" Kata bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun.
"Hari ini, tak boleh makan gula dan aiskrim" tentu kita kerap menyebut perkataan ini kepada anak kita.
"Cukup-cukup, tutup tv tu, dah panas dah dia" tegas seorang datuk kepada cucunya.
Pastinya kanak-kanak yang dihalang sedemikian mencebik dan adakalanya cukup benci dengan pantang larang ini.
Apakah sebabnya pantang larang ini dibuat? Adakah kerana dengki, agenda tersembunyi si ibu bapa dan datuk?
Jawabnya adalah kerana kasih mereka untuk memastikan kebaikan buat orang di bawah jagaan mereka. Kasih inilah agenda tersembunyi.
"eleh, kalau gitu, sebutlah elok-elok, ni tak kasar dan keras je" tegas seorang anak protes.
Kasar dan keras bergantung kepada teknik masing-masing. Nabi SAW juga pernah berkeras dengan sahabat. Seperti memboikot Ka'ab bin Malik dan 2 orang lagi kerana ‘ter'cicir mereka dari perang Tabuk.
Yang lebih penting adalah ia dilakukan kerana ilmu si ibu bapa lebih dalam dari pengalaman pendek si anak. Ia juga dibina atas rasa kasih dan ingin menjaga kanak-kanak itu. Tanpa kasih, ibu bapa akan membiarkan saja anak-anak itu buat apa yang disukainya tanpa larangan. Kesannya, anak akan menderita jangka panjang, gembira jangka pendek. Ibu bapa tadi pula dianggap tidak bertanggungjawab kepada anaknya.
Allah SWT maha bijaksana, lalu memberikan beberapa larangan dan arahan bagi keselamatan kita dunia dan akhirat. Hukum hakam seterusnya diulas oleh baginda Nabi SAW sebagai penjelas kepada apa yang dituurnkan Allah SWT. Selepas kewafatan baginda, dalam perkara yang tiada sebarang nas yang khusus, para sabahat baginda dan seterusnya para ulama akan membuat penelitian mendalam terhadap seluruh hukum yang telah ada lalu membuat perbandingan hukum (qiyas) bagi mengeluarkan apa jua hukum bagi masalah baru. Bersandarkan kepada ilmu al-Quran dan al-Hadith yang amat mendalam, mereka akan meneliti hikmah dari setiap hukum yang asal agar setiap hukum yang difatwakan bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya. Sudah pasti banyak larangan dan arahan ini yang bertembung dengan kehendak peribadi masing-masing. Yakinlah ia adalah baik untuk dunia dan akhirat kita. Belajarlah untuk meyakininya.
Ulama Tiruan
Benar, memang terdapat ulama tiruan, ‘mata duitan' dan macam-macam lagi gelarannya (moga dijauhkan Allah dari kita semua). Bagaimanapun, apa jua niat mereka, apabila mereka mengeluarkan sesuatu fatwa, yang pertama perlulah kita melihat kandungan saranan mereka terlebih dahulu serta hujjahnya.
Tidak lupa jua ahlaknya, tetapi jangan kerana rupanya kurang tampan, akhlaknya kurang baik, nadanya tinggi, wajahnya kelihatan sombong, lalu ditolaknya fatwa mereka tanpa sebarang pertimbangan.
Ingat juga, jangan kita kerap menyamakan orang lain dengan kita. Ada orang yang dirinya jarang sekali ingin berbuat baik kepada orang lain tanpa sebarang habuan dan upah. Semua mesti nak upah. Tiba-tiba dia ternampak ada orang lain berbuat baik, terus disangkanya sapa yang upah dia. "Mesti dia buat sebab nak upah punya pasal, berapa dia dibayar, dan pelbagai lagi"
Jangan, jangan fikirkan semua orang macam kita, jahat macam kita dan tak ikhlas macam kita. Melakukan ‘generalize' kelemahan yang ada pada diri kita dan mengganggapnya ada pada orang lain akan menyebabkan banyak sangkaan buruk berlaku. Kerap prejudis kepada sesiapa jua.
Kerana itulah Allah SWT menyifatkan individu yang mampu menahan sangka buruk dari orang Islam yang lain adalah salah satu sifat orang yang beriman.
لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا
Ertinya : "Adalah baik kiranya mereka mendengar (sesuatu berita) maka orang yang beriman lelaki dan wanita akan bersangka baik tentang sesama mereka.." ( An-Nur : 12)
Ayat ini menjelaskan secara tersirat, individu yang mudah bersangka buruk dengan apa jua kebaikan yang dilakukan oleh orang lain sebagai tidak ikhlas, untuk dapat habuan itu dan ini, jaga kedudukan dan lain-lain. Sebenarnya hanyalah memantulkan sifat dirinya sendiri, selain ia tidak menepati sifat seorang mukmin di sisi Allah. Maka jauhilah ia.
Redha Dengan Hukum
Hanya dengan keyakinan terhadap kebijaksanaan Allah SWT sahaja yang dapat menjadikan kita sebagai orang yang redha dengan hukum yang ditentukan oleh Nya. Allah menegaskan tiada pilihan aqal boleh masuk campur apabila sesuatu ketetapan hukum yang qati'e telah dibuat.
Sebagai hamba, kita diwajibkan menerimanya tanpa bantahan dan pilihan. Kecuali jika hukum itu tidak bersifat putus (Qat'ie). Untuk itu, seseroang yang ingin mempertikai perlu merujuk kepada mereka yang pakar bagi menentukan samada sesuatu hukum itu ‘Qa'tie' atau ‘Zhonni' sebelum ingin mempertikaikannya.
Firman Allah SWT :-
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Ertinya : Dan tidaklah boleh bagi seorang lelaki yang beriman dan wanita yang beriman itu, apabila Allah SWT & RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum, maka mereka ingin memilih (mengikut suka hati mereka), dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, ia telah sesat dalam kesesatan yang nyata.
Allah SWT tidak akan mentaklifkan (meletakkan tanggung jawab) kepada manusia sesuatu arahan dan larangan yang mustahil mampu dikerjakan oleh manusia. (Al-Muwafaqat, As-Syatibi)
Semoga kita sedar Islam amat toleransi dengan kita, aqal kita pula memang kurang cukup bagi melihat kebaikan yang tersembunyi dan seluruh hukum Islam dibina atas fitrah buat keselamatan di dunia dan akhirat.
Sekian
U. Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
25 Jun 2007
10 Jumada Al-Akhir 1428 H