Tuesday, September 4, 2007

ahlan wa sahlan ya Ramadhan

RASULULLAH SAW sentiasa menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan berlapang dada. Perasaan gembira itu disampaikan pula kepada sahabatnya dengan berkhutbah:


"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah (Ramadan) dengan membawa berkat, rahmat dan keampunan. Ia bulan yang paling mulia di sisi Allah. Harinya adalah hari paling mulia. Malamnya adalah malam yang paling mulia. Setiap detik masanya adalah masa yang paling mulia. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan-Nya. Pada bulan ini setiap hembusan nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, segala amalanmu diterima, dan doamu dimakbulkan. Bermohonlah kepada Allah Tuhanmu dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya (al-Quran).

“Amatlah rugi sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah pada bulan yang agung ini. Ketika berpuasa bayangkanlah saat lapar dan dahaga pada hari kiamat. Bersedekahlah kepada fakir dan miskin. Hormatilah orang tuamu, sayangilah yang muda dan eratkanlah hubungan persaudaraanmu. Jagalah lidahmu, bataskan pandanganmu daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat, dan kawallah telingamu daripada mendengar perkara-perkara yang tidak sepatutnya didengar. Berbuat baiklah kepada anak-anak yatim dan bertaubatlah kepada Allah di atas dosa yang kamu lakukan.

“Angkatlah tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat yang paling utama ketika Allah memandang hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia (Allah) menjawab apabila hamba-Nya menyeru, menyambut apabila hamba-Nya memanggil dan memberi apabila hamba-Nya meminta.

"Wahai manusia! Sesungguhnya dirimu tergadai kerana perbuatanmu. Bebaskanlah diri dengan memohon keampunan. Dirimu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dirimu dengan memanjangkan sujudmu. Ketahuilah! Allah bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari pengadilan.

"Wahai manusia! Sesiapa di antaramu memberi makanan berbuka puasa kepada seseorang mukmin yang berpuasa pada bulan ini (Ramadan), maka nilai pahalanya di sisi Allah sama dengan membebaskan seorang hamba. Di samping itu Allah akan mengampuni dosanya yang telah lalu."

Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Kami semua tidaklah mampu berbuat demikian."
Rasulullah SAW meneruskan khutbahnya dengan berkata: "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya dengan seteguk air."

"Wahai manusia! Sesiapa yang menjaga akhlaknya pada bulan ini (Ramadan) ia dapat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari akhirat nanti dengan mudah. Sesiapa yang meringankan pekerjaan orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya pada hari kiamat kelak. Sesiapa bersabar pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari pengadilan. Sesiapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.

“Sesiapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari kiamat. Sesiapa melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan membebaskannya daripada api neraka. Sesiapa yang melakukan solat fardu pada bulan ini, baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu pada bulan yang lain. Sesiapa memperbanyakkan selawat kepadaku (Nabi SAW) pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Sesiapa yang membaca satu ayat al-Quran pada bulan ini, ganjarannya sama seperti mengkhatam al-Quran pada bulan lain.

"Wahai manusia! Sesungguhnya semua pintu syurga dibuka bagimu, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan ditutup bagimu. Semua pintu neraka ditutup, maka mohonlah kepada Allah agar ia tidak akan dibuka bagimu. Semua syaitan dibelenggu, maka mohonlah agar ia tidak lagi mengganggumu."

Saidina Ali bin Abi Talib bangun dan berkata: "Ya Rasulullah! Apakah amalan yang paling utama pada bulan ini?" Jawab Nabi SAW: "Ya Abal Hasan! Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.”

Berdasarkan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW pada hari-hari terakhir Syaaban ini, tidak hairanlah kenapa Baginda amat gembira tatkala tibanya Ramadan.

Ramadan adalah bulan yang teristimewa dan mempunyai banyak kelebihannya. Allah menurunkan al-Quran dalam bulan ini. Di dalamnya ada satu malam yang keutamaannya melebihi seribu bulan (Lailatul Qadr).

Pada bulan inilah umat Muhammad SAW melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Jika seseorang itu mengerjakan puasa dengan penuh keimanan dan teliti, Allah akan mengampunkan dosanya yang lalu.

Segala amal kebajikan yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah. Pada malamnya pula disunatkan solat Tarawih, Witir, Tasbih dan Tahajud.




Printer-Friendly Version Send To Friend Add To Favorites IM Article

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home