SEBAIK-BAIK PERKATAAN DAN PETUNJUK
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره(
Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".
(Muslim dan Lain-lainnya).
Hadis yang pertama ini mengandungi tentang:
(1) Gaya Rasulullah s.a.w semasa berpidato.
(2) Masa baginda diutus oleh Allah Taala dan saat berlakunya qiamat.
(3) Kitab Allah ialah sebenar-benar perkataan dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w ialah sebaik-baik jalan pimpinan.
(4) Perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama adalah seburuk-buruk perkara.
(5) Keadaan Rasulullah s.a.w dengan orang-orang mukmin.
Tabligh (tugas menyampaikan perintah-perintah agama) adalah tujuan pokok dari perutusan Rasulullah s.a.w, manakala pidato adalah salah satu cara bagi Baginda menjalankan tugas tabligh. Dengan jalan pidato, Rasulullah s.a.w menyampaikan perkara-perkara yang mesti disampaikan dari perkara-perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada yang sebesar-besarnya, apakala keadaan menghendakinya.
Semasa berpidato, tergambar pada anggota-anggota lahir Baginda kesungguhan hatinya mengenai apa yang hendak disampaikannya melalui pidatonya itu, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang hebat, seperti berlakunya qiamat. Baginda melafazkannya dengan suara yang lantang, merah matanya, dengan rupa marah nampaknya, seperti keadaan seorang panglima memerintah tentera, memberi amaran tentang serangan musuh, yang akan datang menyerbu entah pada waktu pagi dan petang.
Keadaan yang demikian adalah sangat mustahak untuk menarik perhatian dari seluruh ahli satu-satu rapat umum, kerana segala gerakan dan keadaan air muka pemberi pidato itu besar kesannya kepada mereka.
Meskipun masa berlakunya hari qiamat tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan tepat melainkan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w telah menerangkan secara umum bahawa masa berlakunya qiamat itu telah hampir. Baginda membuat bandingan tentang kehampirannya itu seperti hampirnya jari telunjuk dengan jari tengah, yakni antara dua jari itu tidak ada diselangi oleh jari lain, maka begitulah masa Baginda diutus dengan masa berlakunya qiamat, tidak ada Rasul yang membawa wahyu yang lain yang menyelanginya atau bezanya masa berlaku qiamat dengan masa Rasulullah s.a.w diutus adalah seperti bezanya panjangnya jari tengah dari jari telunjuk.
Benar bererti tepatnya sesuatu yang disebut dengan keadaannya yang sebenar.
Ketetapan itu ialah apabila yang menyebut itu mempunyai pengetahuan yang luas meliputi segala hal keadaan yang dinyatakannya; pengetahuan yang sedemikian tidak dipunyai melainkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Kitab Allah, kitab suci Al-Qur'an Al-Karim, antara lain mengandungi kisah-kisah kejadian yang berlaku, sama ada yang berlaku sebelum daripada masa turunnya, semenjak zaman purba ataupun yang berlaku kemudian daripada masa turunnya hingga hari qiamat.
Mengenai perkara-perkara yang telah berlaku, Al-Qur'an Al-Karim telah menceritakan dalam keadaan yang terbuka kepada segala lapisan masyarakat dan apa yang telah diceritakannya itu tidak ada sesiapapun yang menentangnya, dari golongan ahli pengetahuan yang jujur.
Demikian juga, mengenai perkara-perkara yang akan datang, Al-Qur'an telahpun menceritakannya dan di antaranya ada yang telah berlaku menjadi kenyataan sebagaimana yang telah diceritakannya dan setengahnya yang lain lahir ke alam nyata melalui kajian-kajian sains.
Ini adalah di antara bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kisah da kejadian-kejadian yang disebut dalam kitab Allah itu adalah benar, maka demikianlah pula mengenai bahagian-bahagian yang lain, seperti bahagian hukum, bahagian pengajaran dan seterusnya adalah semuanya benar belaka. Kitab Allah adalah sebenar-benar perkataan, kerana ilmu Allah itu adalah meliputi segala-galanya.
Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, yang boleh menyampaikan kepada matlamat kebahagiaan sejati. Jalan pimpinan Baginda adalah sebaik-baik jalan pimpinan kerana pimpinan baginda adalah dengan panduan wahyu melalui malaikat yang diutus oleh Allah Azza wa Jalla pencipta seluruh alam.
Dalam buku-buku karangan mengenai pimpinan-pimpinan dunia yang masyhur, terdapat Nabi Muhammad s.a.w disebut dari jumlah mereka. Ya, sungguh benar, Baginda termasuk dalam jumlah pemimpin-pemimpin dunia yang terkenal, tetapi yang lebih benarnya ialah pimpinan Rasulullah s.a.w tidak boleh ditandingi dengan pemimpin-pemimpin dunia yang lain, yang dalam hal memimpin rakyat, mereka hanya berpandu kepada fikiran masing-masing yang sangat terbatas, dalam keadaan dan masa yang terbatas.
Dimaksudkan dengan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama itu ialah perkara-perkara yang menyalahi dengan maksud isi kandungan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah s.a.w, Aathar sahabat dan Ijma Ulama.
Perkara-perkara baharu yang demikian itulah dia bid'ah yang merupakan jalan baharu yang menyeleweng dari jalan yang sebenar, maka sudah tentu tidak akan sampai kepada matlamat kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang memang dikehendaki ini bukan sahaja dalam kehidupan dunia ini semata-mata, bahkan yang terutama sekali ialah kebahagiaan di akhirat kelak dan jalan ke akhirat itu tidak sesiapa yang mengetahuinya dan tidak akan berhasil dengan cara diagak-agak dan direka-reka sendiri oleh sesiapapun. Dengan sebab itu maka perkara-perkara yang menyalahi itu sudah tentu membawa bahaya yang besar dan balasan yang seburuk-buruknya.
Sebagaimana yang sedia maklum bahawa tiap-tiap orang adalah berhak menjaga keadaan diri sendiri lebih dari orang-orang lain, tetapi Rasulullah s.a.w berhak menjaga keadaan setiap orang mukmin lebih daripada orang mukmin itu menjaga diri sendiri.
Dengan sifat seorang pemimpin negara dan pemimpin agama, yang membawa perutusan dari Allah Subhanahu wa Taala, Baginda mencurahkan segala daya upaya, segala kebolehan dan segala perasaan untuk kebaikan umat di dunia dan di akhirat, jauh sekali Baginda melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas untuk kebaikan dan tidak sekali-kali Baginda berusaha untuk kepentingan diri sendiri.
Di antara cara-cara Baginda menjaga kebaikan orang-orang mukmin ialah kesanggupan Baginda menjaga orang-orang yang kehilangan tempat bergantung dan membayar hutang yang ditinggalkan oleh si mati yang tidak meninggalkan harta benda.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home