Bani Israil suka melanggar janji dengan Allah dan dua kalimah syahadah. Ini adalah kerja dosa yang besar. Seterusnya Allah Taala menyebut firman-Nya yang bemaksud; “Dan Kami telah mengutuskan kepada mereka rasul-rasul.” (Surah al-Maidah: 70) Utusan Allah bemula dari datuk, nenek mereka termasuk Nabi Ya’aqub. Daripada zuriatnya lahir bangsa Yahudi Bani Israil. Ya’aqub bin Ishaq bin Ibrahim, ayahnya rasul dan datuknya pun rasul. Inilah keistimewaan yang diberikan Allah kepada Bani Israil, di mana dilahirkan di kalangan mereka rasul-rasul yang ramai lebih ramai daripada umat lain. Ini adalah kurnia Allah kepada Bani Israil. Tetapi mereka melanggar janji mereka dengan Allah dan mendurhakai-Nya. Firman Allah yang bermaksud; “Setiap kali datang rasul kepada mereka, sebahagian mereka bohongi dan sebahagian lagi mereka bunuh.”(Surah al-Maidah: 70) Yakni apabila rasul diutuskan oleh Allah membawa ajaran yang mereka fikir tidak sesuai dengan akal fikiran mereka ataupun rasul yang dipilih oleh Allah tidak seusai dengan akal fikiran mereka, sebahagian daripada rasul itu mereka bohongi, mereka tidak percaya seperti Nabi Isa a.s. dan beberapa nabi yang lain termasuk Nabi Musa, Nabi Harun dan lain-lain, mereka ukur dengan akal fikiran mereka bukan beriman dengan ikhlas kepada Allah SWT. Mereka dustakan rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah, pada hal rasul itu di kalangan orang yang paling baik daripada kalangan mereka. Sementara itu sebahagian daripada rasul itu mereka bunuh. Nabi Zakaria mereka gergaji jasadnya, Nabi Yahya mereka sembelih seperti binatang, dan beberapa orang rasul lagi yang dibunuh oleh mereka. Sudahlah mereka tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh rasul-rasul itu bahkan mereka bunuh pula rasul-rasul itu. Inilah kerja kamu wahai Bani Israil dan ambillah pengajaran wahai orang Islam dalam perkara ini. Firman Allah yang bermaksud; “Dan mereka mengira bahawa tidak berlaku fitnah kepada mereka.” (Surah al-Maidah: 71) Mereka menyangka bahawa tidak akan berlaku bencana kepada mereka dengan tindakan jahat itu. Mereka menyangka, Allah tidak menurunkan bala kepada mereka. Mereka tidak sedar, mereka dibalakan oleh Allah dengan serangan musuh, bencana alam termasuk puting beliung, banjir, kemarau dan berbagai-bagai perkara. Bala bencana ujian dari Allah, hukuman di dunia sebelum hukuman di akhirat akibat daripada mereka mendurhakai Allah dan mendurhakai rasul-rasul-Nya. Mereka merasakan tidak ada apa-apa keburukan pun selepas membunuh rasul-rasul itu, mereka tetap sihat walafiat. Tiba-tiba datang bencana, mereka berkata, itu hanya bencana alam sahaja tidak ada kena mengena dengan kejahatan yang mereka lakukan. Mereka lupa kepada jenayah dan maksiat yang mereka lakukan selama ini ataupun mereka memandang ringan terhadap maksiat yang mereka lakukan. Mereka tafsirkan kepada benda lain, tidak kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak menghitung diri sendiri sebelum mereka dihitung di hadapan Allah. Firman Allah yang bermaksud; “Lalu mereka buta (untuk melihat petunjuk) dan pekak.” (Surah al-Maidah:71) Mereka buta untuk melihat yang benar dan melihat yang baik dan pekak dari mendengar yang sebenar. Mereka dengar tetapi seperti tidak mendengar ketika diberitahu perkara yang sebenar. Firman Allah yang bermaksud; “Kemudian Allah mengampunkan mereka dengan apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah: 71) Nabi-nabi mereka beristighfar memohon keampunan daripada Allah. Apabila mereka sedar dan insaf, mereka memohon kemaafan dan beristighfar, Allah Ta’ala mengampunkan mereka, kerana Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud; “Kemudian mereka itu buta dan pekak lagi, kebanyakan daripada mereka.” (Surah al-Maidah: 71) Kebanyakan daripada mereka buta dan pekak semula, tidak melihat dan mendengar perkara yang benar. Berkata ulama tafsir, mereka tidak percaya kepada yang kemudian ini iaitu kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. yang mereka baca di dalam kitab-kitab mereka, yang mereka dengar beritanya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul mereka serta para ulama mereka. Diperjelaskan bahawa akan zahir nabi akhir zaman, tetapi mereka seolah-olah tidak mendengar khabar itu daripada nabi-nabi, rasul-rasul dan para ulama mereka. Mereka tidak menerima petunjuk walaupun mereka melihat batang tubuh Nabi s.a.w.
|
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home