Tafsir: Golongan pandang kecil dosa yang dilakukan
Pemuda Bersama Mu
Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu(DPPKT) merupakan Sayap Kanan Pas Kawasan Kuala Terengganu. Tahun ini, dengan azam baru, bertemakan 'MERAKYAT PERJUANGAN', kami bertekad untuk mengembalikan Terengganu kepada Pemerintahan Islam. ALLAHU AKBAR!!!
Monday, July 30, 2007
Sunday, July 29, 2007
TAQWA SEBAGAI ASAS IMAN
HADIS KE 18 DARIPADA HADIS 40 IMAM NAWAWI
Maksudnya:
Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’az bin Jabal radhiallahu anhuma, berkata, sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan yang telah kamu lakukan dengan kebaikan nescaya menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan perangai yang baik.
(Riwayat Tirmizi )
1.BERTAQWA KEPADA ALLAH DI MANA SAHAJA BERADA
Taqwa berasal daripada perkataan wiqayah yang bererti benteng. Pada syarak, ia membawa erti melaksanakan yang wajib dan meninggalkan segala larangan. Ulama salaf mendefinisikan taqwa sebagai taatkan Allah tidak mendurhakaiNya; mengingatiNya tidak melupaiNya, dan mensyukuriNya tidak kufur kepadaNya.
Tuntutan agar bertaqwa itu hendaklah dilaksanakan di mana sahaja kita berada, tidak kira sama ada berseorangan mahupun ramai.
Fadhilat bertaqwa banyak disebut dalam al Qur’an. Antaranya ialah ; dapat membebaskan diri dari neraka, menempatkannya dalam syurga, membaiki amal serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kemenangan dan kejayaan, untuk mendapat perlindungan daripada musuh, dan untuk melepaskan diri dari kepayahan serta mendapat rezeki yang halal. Contoh yang terkenal ialah dalam firman Allah yang bermaksud; “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah , nescaya Allah menjadikan baginya satu jalan keluar, dan memberinya rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka.” (Surah at Talaq: ayat 2-3)
2.IKUTILAH KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN
Manusia tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan, ialah yang menyesali perbuatannya sebagaimana sabda nabi yang bermaksud : “Manusia itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah yang bertaubat”. Kata Imam Nawawi dalam kitab yang lain, Taubat daripada dosa itu wajib. Taubat itu sendiri sebahagian daripada kebaikan. Maka, kebaikan taubat itu boleh menghapuskan kejahatan dosa kita yang lalu.
Adapun kejahatan yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah dosa-dosa kecil , dam kebaikan yang dikatakan dapat menghapuskannya ialah seperti berwudhu’, solat, dan lain-lain amal kebaikan yang disukai agama. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya segala kebaikan dapat menghapuskan segala kejahatan”.(surah Hud:ayat 114).
3.BERGAULLAH DENGAN MANUSIA DENGAN PERANGAI YANG BAIK
Selepas berbicara tentang taqwa dan amal kebaikan, Rasulullah menyebut tentang perangai yang baik. Ini kerana perangai yang baik merupakan pelengkap kepada kesempurnaan taqwa seseorang. Seseorang yang bertaqwa kepada Allah hendaklah menjaga hubungannya dengan manusia. Menjaga hubungan dengan manusia pula tidak dapat disempurnakan melainkan dengan berakhlak mulia, bersopan santun, dan berkasih sayang sesama manusia.
Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda: “Hanyasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”
4.PETUNJUK HADIS
Hadis ini mengandungi tiga hukum iaitu:
i)Hak Allah: bertaqwa kepadaNya
ii)Hak Mukallaf: menghapuskan dosa yang telah dilakukan
iii)Hak Hamba: menjaga hubungan sesama manusia dengan berakhlak mulia.
Maka, orang yang benar-benar bertaqwa ialah orang yang menjaga kesemua tuntutan ini.
Sunday, July 15, 2007
Mukhayyam Qiadi
Pada 13, 14 Julai 2007 yg lalu, Dewan Pemuda K.Terengganu anjur Mukhayyam Qiadi di Pulau Poh, Kenyir Hulu Terengganu. Kami bertolak jam 3 petang dari Kuala Terengganu. Ada kumpulan yang konvoi motor, ada yang naik kereta, ada yg naik van.Yang pergi awal, berhenti rehat di Pondok BASUNG Ust Kamaruzzaman Abdullah, Ketua Urusan Ulama'Pas Hulu Terengganu. Peserta dapat merasa durian basung yg terkenal d Terengganu. Yang datang sendiri, lewat, jawabnya tak merasa lah durian basung.
Ketua dan Setiausaha bertolak sebelah petang jam 3.30 sebab pagi ada program lain. Naik bot ke Pulau Poh hanya mengambil masa 5-10 minit sahaja. Sebelum menjelang maghrib, Ustaz Wan Hamidi selaku Pengarah Program beri taklimat dan bahagi kumpulan. Ada kumpulan JIHAD, IKHWANUL MUSLIMIN, AL QAEDA, ASHABUL KAHFI, dan HAMAS. Kemudian, semua kumpulan diminta buat ta'aruf bersama2 fasilitator yang telah diamanahkan.
Sebelum menjelang maghrib, kami dihidangkan dengan makan malam. boleh lah tahan masakan. dalam hutan mana boleh memilih.Lauk ayam lagi........Ingat kalau berkhemah , makan sardin je.
Solat maghrib diimamkan oleh al fadhil Ustaz Termizi. Selesai solat, kami baca ma'thurat ramai2 dipimpin oleh Imam Termizi Jaafar.
Solat Isyak kami dipimpin oleh Al Fadhil Ustaz Alias Abu Bakar yang baru tiba dengan al Fadhil Ustaz Abu Hamzah, penceramah jemputan yg akan mengisi slot pertama program malam itu. Ustaz Abu Hamzah mnyampaikan ceramah motivasi perjuangan dengan membaca dan menghuraikan ayat al qur'an dari surah at Taubah ayat 41.
Malam itu, peserta tidur awal dan diarahkan bangun seawal 3 pagi. Pengarah, jawatankuasa dan fasilitator2 masuk hutan untuk tanda laluan untuk Jungle Trekking malam tu. Kami keluar daripada hutan kurang lebih jam 12.30malam. Ditakdirkan Allah malam itu hujan renyai2.
Jam 3 pagi, peserta dikejutkan untk memulakan slot Jumgle Night trekking. Jawatankuasa dan fasilitator yang telibat masuk hutan setengah jam lebih awal. mak oi....punyelah gelap sampai tak nampak batang hidung.Kami tak pe lagi sebab boleh bawa lampu picit masing2. mana2 yg takde nasiblah. Tapi peserta tidak dibenarkan membawa lampu picit, melainkan ketua kumpulan boleh bawa handphone.
Ada jalan yang licin, ada jalan berjurang, bergaung..boleh tahan juga cabarannya. waktu kami mengenalpasti trek, ada fasilitator yang bimbang takut2 sesuatu yang buruk berlaku kepada peserta. Tapi alhamdulilah sepanjang perjalanan tidak ada apa2 yg buruk berlaku. Jangankan jatuh gaung, pacat pu takde!!
Sepanjang perjalanan, kami sediakan 6 checkpoint. setiap checkpoint tugasan dan soalan. Antaranya, diuji dengan soalan yang berkaitan politik semasa, Target PRU, kena 'test' ma'thurat. Setiap CP , kumpulan dinilai di atas tugasan yang diberi.
Kumpulan terakhir tiba hampir jam 5.30 pagi dengan CP terakhir yang dijaga oleh Ustaz Wan Hamidi sendiri dan diperiksa sama ada amanah yang diberikan semuanya sempurna.
Selepas solat Subuh, Ustaz Hamidi mengarahkan setiap kumpulan bincangkan iktibar daripada program jungle trekking semalam.
Selepas sarapan pagi, kami mendaki bukit hingga ke puncak untuk permainan kedua iaitu Futsal Tarbawi. Pd mulanya, ada suara2 nakal yg seolah2 tak bersetuju dengan permainan PELIK tu tapi selepas brmula, suasana menjadi semakin meriah dengan sorakan dan suara2 mengajor pemain2 bergerak ke sana dan kemari.
SETELAH selesai futsal, Ust Alias merumuskan tujuan permainan. KEMUDIAN kami diberikan peluang untuk menikmati mandi kolam dalam TASIK.
sekembalinya ke tapak perkhemahan, Slot Kuliah terakhir disampaikan oleh Al fadhil Ustaz Alias menekankan tentang peripenting menyumbang tenaga untuk Pilihanraya akan datang.
kurang lebih jam 12.30 tengahari, kami berlepas pulang ke daratan.
Dalam perjalanan pulang, sekali lagi kami singgah di Pondok Basung untuk menikmati makan tengahari dan solat zohor berJAMA'AH. Berseleranya peserta2 tak boleh digambarkan dengan kata2, berlaukkan masak lemak ikan baung, ikan selayang goreng, kerabu, tak lupa BUDU dan pembasuh mulut tembikai kuning.
Mudah2an Mukhayyam Qiadi kali ini menyuntik semangat jihad yang tinggi ke dalam diri kami, memperbaiki diri kami dalam mengatur langkah dalam mengambil tindakan2 dalam kerja2 jamaah, menguatkan istiqamah perjuangan serta mengukuhkan ukhuwwah antara AJK.
wallahu a'lam.
Wednesday, July 11, 2007
Monday, July 9, 2007
Islam adalah Islam, tiada Hadhari................
Hentikan Debat Islam Hadhari
Thursday, July 5, 2007
Seruan dalam ruang Agama Mingguan Malaysia yang menganjurkan semua pihak “hentikan debat mengenai slogan dan istilah Islam Hadhari” benar-benar mengesahkan bahawa istilah itu telah mencetuskan banyak kekeliruan dan syak akan maksud dan tujuannya.
Kita sangat boleh bersetujulah dengan kenyataan Dr. Ismail Ibrahim yang berbunyi, “Islam itu satu, iaitu satu agama yang datangnya daripada Allah untuk umat manusia seluruhnya, bukan untuk orang Inggeris atau Melayu, atau Arab dan orang Afrika, bukan untuk orang UMNO atau PAS.” (Mingguan Malaysia 4 Julai 2004). Inilah pun yang selalu saya tegaskan. Saya boleh sahkan juga di sini bahawa apa yang dipetik oleh Dr. Ismail dengan mengambil kata-kata saya yang berbunyi, “Islam itu merangkumi Islam dan iman iaitu Islam di luar dan iman di dalam”adalah benar. Kata-kata saya yang berbunyi, “Islam yang tidak menyebut soal pegangan kepada Al-Quran dan Hadith adalah ditolak” seperti yang dipetik oleh Dr. Ismail selanjutnya juga adalah benar.
Jika semua kenyataan ini adalah benar, maka Islam dari jenis lain, yang tidak mahu sebut Al-Quran dan Hadith tentunya Islam kosmetik. Islam Hadhari cuma bercelak dan berbedak seperti yang diumpamakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.
Namun, pendapat saya mungkin berbeza sedikit apabila melihat anjuran Dr. Ismail supaya umat Islam menghentikan perbincangan atau perdebatan mengenai Islam Hadhari. Tidakkah berbincang, berbahas dan bermuzakarah adalah semangat Islam? Allah S.W.T. mengizinkan manusia berdebat dan bermuzakarah dalam apa jua perkara. Cuma hakimnya ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan Hadith sebagai sumber pemutus yang qat’in.
Dalam semangat menjelas dan memberikan keterangan, apa yang PAS jadikan motto cuma berbunyi “Membangun Bersama Islam”. Kami tidak berhajat sedikitpun untuk mendefinisi semula Islam. Ia adalah Islam yang satu. Ia wajib asli. Ia mesti original seperti yang dilancarkan oleh Rasulullah S.A.W. kira-kira 1,425 tahun dahulu tanpa tokok tambah. Kita berpuas hati dan redha dengan Islam yang syumul, kamil dan komprehensif dan biar ianya kekal begitu sampai bila-bila. Jika kita perlu bangun, kita perlu bangun bersama dengan Islam. Jika saya pinjam kata-kata Dr. Ismail, “Islam yang hendak diberi kefahaman itu adalah Islam hakiki dan fundamental dimana asas komponennya terdiri dari akidah, syariah dan akhlak.” Inilahpun yang PAS sedang berikhtiar.
Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan telah memindahkan akaun Kerajaan ke dalam Bank Islam. Kerajaan Negeri juga mengeluarkan pekeliling dan kempen bagi menggalakkan amalan penutupan aurat. Kita juga menyediakan sistem pajakan alternatif secara Ar-Rahn. Kita wajibkan semua Rumah Awam Kos Rendah dibina dengan 3 bilik. Kita kawal premis penjualan arak. Kita tutup semua premis judi. Kita adakan kawalan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. Kita adakan Yayasan Islam Kelantan dan asaskan sistem pendidikan yang berpaksikan adab, akhlak, ilmu dan amal. Tidakkah usaha-usaha ini di asaskan di atas kesedaran akidah, syariah dan akhlak? Semuanya ini telah kita laku dan akan terus kita ikhtiarkan. Inilah membangun bersama Islam. Kami tidak ‘modify’ Islam atau mengistilahkan Islam dengan tokok tambah yang lain. Islam adalah Islam. Kami cuma menurut, patuh dan mengikut kehendak Islam untuk membangun.
Apa yang menimbulkan kesangsian ialah apabila Islam itu pandai-pandai dijenamakan dengan Islam Madani dan kini Islam Hadhari. Lepas satu jenama ke satu jenama; Islam itu diarak. Islam dibawa berpindah randah tanpa diketahui akan kepentingannya.
Tentunya apa yang mustahak ialah soal amalnya. Sekali lagi saya boleh bersetuju dengan Dr. Ismail yang menekankan faktor ilmu dan pengisiannya. Jika begitu, apa perlunya dipecah-pecahkan Islam kepada hadhari atau non-hadhari? Perlu apa pula dicerai-ceraikan Islam itu kepada pecahan-pecahan yang menyerupai sub-budaya (sub-culture) seperti Islam toleransi, Islam hikmah, Islam dinamik dan Islam Pembangunan. Inipun juga telah dipersoalkan oleh Dr. Ismail dengan kata-kata, apalah bezanya Islam Hadhari dengan Islam dinamik, Islam tamadun dan Islam toleransi?
Kita perlu faham yang setiap sesuatu perlu betul niatnya. Biar ada usul ‘zukhrina’ yang bererti cagaran. Jika suntuk dan kesukaran di akhirat, amal yang dilaksanakan di dunia boleh dijadikan cagaran di hadapan Allah.
Islam Hadhari Umno dan negara Islam yang diisytiharkan Umno ini bolehkah dijadikan cagaran? Negara Islam bagaimana jika tanpa apa-apa perubahan? Islam jenis ini yang menghalalkan arak, judi dan tiada halangan untuk bergaul bebas dan mendedahkan aurat dapatkah dijadikan cagaran di akhirat?
Hatta jika di dalam sembahyang yang riak pun tidak diterima oleh Allah kerana rosak niatnya maka bagaimana Islam Hadhari boleh dijadikan sandaran dan tempat bergantung untuk berhujah di hadapan Allah kelak? Niat mesti betul. Struktur mesti betul. Jangan main suka-suka.
Keadaan menjadi semakin kalut apabila Pemimpin UMNO mula di asak dengan pertanyaan. Mereka kelihatan mulai lemas. Mereka cuba mencari ulama’ setempat termasuk dari timur dan barat untuk menghalalkan konsep “hadhari”nya. Kalau hadhari itu bermakna tamadun, maka Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS telah membinanya dalam bentuk tindakan.
Sementara UMNO baru diperingkat cuba menjaja pakej Islam Hadharinya secara “direct selling”di tahun 2004, kami telah jauh berada beratus kilometer di hadapan dalam usaha-usaha pelaksanaan. Tunjukkanlah mana satukah diantara usaha yang dibuat oleh kami bersifat anti tamadun sebagaimana tamadun akhlak yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. Saya tidak ada masalah untuk mendengar kritikan jika ada bukti yang kami membangun dengan mengkhianati sifat-sifat akhlak seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W.
Jika mahu bertahan sangat dengan Islam Hadhari atau Islam tamadun yang kelihatan cuba dipaksa masuk ke kerongkong rakyat, maka kami tidak ada masalah. Kami telah menjadi pelopor sekurang-kurangnya sejak dari tahun 1990 lagi. Di masa itu, saya kurang pasti pemimpin UMNO sedang berada di mana! Kini, setelah 15 tahun berlalu, mereka sibuk berhadhari pula.
Belumpun selesai melumatkan usaha penerapan nilai-nilai Islam, dan belumpun reda nafas kerana masih mengah mahu mengislamkan negara yang tidak juga-juga menjadi Islam; kini mereka mahu menjual jenis Islam dalam peket bedak hadhari! Yang kelirunya ialah rakyat. Mereka seakan-akan sengaja melontar bom asap dan dalam kelam asap itulah mereka melakar semula wajah Islam supaya selaras dengan nafsu sekular. Pada saya,Islam Hadhari itu adalah Islam sekular. Ia sejenis Islam yang di bancuh semula oleh Umno untuk memisahkan dunia dari akhirat.
Dalam hal ini, kita sesungguhnya amat kesiankan rakyat khususnya para penjawat awam. Merekalah yang sering menjadi mangsa dan kumpulan sasar untuk disyarahkan. Faham tak faham, itu perkara kedua. Mereka dikurung dalam kem latihan dan pelbagai dewan dan institut kefahaman di segenap ceruk rantau untuk disogok dengan Islam berbaju baru. Debat tidak perlu. Terima saja! Saya sesungguhnya khuatir. Jangan-jangan rakyat lebih faham apa itu Islam sebenar. Mereka lebih arif dari pemimpin Umno. Mereka lebih kenal jenis Islam saduran yang berwajah pepat mainan Umno. Bunganya lebat, wanginya tidak. Pisangnya hangus, masaknya tidak !
TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Bertarikh : 24 Jamadil Awal 1425 / 12 Julai 2004
Saturday, July 7, 2007
tak abis2 nnipu rakyat!!
PR Selangor pindah lokaliti 1,402 pengundi secara senyap untuk kurangkan sokongan BA
Azamin Amin
Sat | Jul 07, 07 | 04:57:45 PM
KAJANG, 7 Julai (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Selangor didakwa telah memindahkan lokaliti 1,402 pengundi dari kawasan Hulu Langat dan Kajang ke Serdang dan Bangi, Selangor supaya dapat mengurangkan sokongan dan undian kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum akan datang.
Sila layari www.englishsection.com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily.net/wap/ untuk melayari HarakahDaily.Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.
Tindakan ini telah dilakukan secara sembunyi pada tahun 2005, setahun selepas pilhanraya umum 2004 tanpa pengetahuan para pengundi yang terlibat dan dijangka akan mengakibatkan kekeliruan termasuk mengulangi sejarah 'kekecohan' pada hari pengundian berikutan daftar pemilih yang berbeza pada saat akhir seperti yang pernah berlaku di Gombak, Selangor.
Yang Dipertua PAS Serdang Dr Shafie Abu Bakar berkata pemindahan tersebut jelas sekali bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113 yang membenarkan sebarang perubahan sempadan dilakukan hanya 8 hingga 10 tahun selepas satu-satu persempadanan semula dibuat di mana-mana kawasan di Malaysia.
"Persempadanan semula yang terbaru ialah pada Mei 2003 dan SPR hanya boleh buat pada 2011 tetapi setelah PAS buat penyelidikan dan siasatan, didapati SPR melakukannnya secara sembunyi pada tahun 2005," katanya ketika membaca kenyataan media membantah tindakan SPR tersebut di pejabat Parti KeADILan Rakyat Kajang dekat sini pagi tadi.
Kenyataan itu turut ditandatangani secara bersama Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Haji Razaly Hassan; Ketua PKR Kajang, Lee Kim Sin dan Ketua PKR Bangi, Hamidi Hassan yang masing-masing turut serta dalam sidang media tersebut.
Kata Shafie, pemindahan tersebut melibatkan 40 lokaliti yang antaranya merangkumi para pengundi daripada tujuh buah taman perumahan iaitu Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Taman Koperasi LLN, Taman Semarak, Taman Pasir Mas dan Taman Kajang Mewah.
Daripada 1,402 pengundi yang terlibat dalam perpindahan sulit SPR ini, 676 terdiri daripada pengundi Cina, 598 pengundi Melayu dan 128 daripada keturunan India.
Katanya, bantahan terhadap pemindahan itu telah pun dibuat pada 2 Februari 2006 kepada SPR manakala SPR mengambil masa setahun untuk menjawab dan menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.
BN perkudakan SPR hingga cabul Perlembagaan Malaysia
SPR mengakui tindakan pemindahan tersebut dengan menggunakan ungkapan 'Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti' dan 'Urusan Belah Bahagi Tahun 2005' seolah-olah bermaksud bahawa persempadan semula pada tahun 2003 itu tidak betul dan mempunyai kesilapan sedangkan ianya digunakan pada pilihan raya 2004, kata Shafie.
"Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan SPR ini dan mahu diperbetulkan semula dengan segera, jika tidak BA akan membawa kes ini ke Mahkamah," katanya.
"Dan kita juga akan memaklumkan dan memberi penerangan kepada para pengundi tentang gerak kerja 'sulit' SPR yang mahu menyusahkan para pengundi pada hari pengundian nanti.
"Bila timbul kesulitan, para pengundi akhirnya tidak pergi mengundi menyebabkan sokongan kepada pembangkang termasuk juga parti pemerintah akan berkurangan," katanya.
Dalam masa sama, Razali mahu para pengundi sentiasa mendapat maklumat terkini tentang apa jua gerak kerja yang dilakukan SPR kerana beliau berpendapat, sikap tidak ambil peduli masyarakat telah menyebabkan SPR sewenang-wenangnya melakukan perancangan licik bagi menyulitkan para pengundi dan cuba 'melenyapkan' sokongan terhadapa parti alternatif.
"Media bertanggunjawab mendedahkan kepincangan SPR yang dilihat 'diperkudakan' oleh Kerajaan Barisan Nasional," kata YDP Hulu Langat itu lagi.
Seorang peguam Nasar Khan yang turut hadir dalam sidang media itu, turut membacakan peruntukan Perlembagaan Malaysia menunjukkan SPR secara jelas mencabuli akta persempadan semula dan beliau bersama pimpinan PAS serta PKR sedang dalam proses tindakan susulan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.-Az
Thursday, July 5, 2007
Pengenalan Sejarah Pas
PARTI lslam Se-Malaysia atau ringkasnya disebut PAS adalah sebuah parti politik yang diluluskan pendaftarannya pada 31hb. Mei 1955 dengan Registration No. 733 (Penang). Pada awalnya ia didaftarkan atas nama Persatuan lslam Se-Malaya dengan rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.
Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Dengan itu, dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah lslam dengan seruannya ialah Allahu Akbar. Bagi mencapai tujuan atau matlamat perjuangan tersebut, usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS termasuklah:
1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.
2. Memperjuangkn lslam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-lslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
3. Memupuk dan memperkuatkan ukhwah lslamiah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.
4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup lslam.
5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara untuk membela kepentingan umat lslam dan rakyat seluruhnya.
6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.
8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran lslam.
9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat lslam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.
10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.
11. Melakukan apa-apa juga usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.
Hukum tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta ljmak dan Qias yang terang dan nyata.
Dengan tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.
Akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan Muktamar atau Mesyuarat PAS.
Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukkan itu dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukkan dalam hukum tertinggi PAS dan tidak berlawanan pula dengan dasar PAS, maka sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama ditubuhkan.
Majlis Syura Ulama berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang tidak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.
Majlis ini juga berkuasa melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang terdapat pada fasal 75 Perlembagaan parti.
Mengenai ahli PAS, hanya terdapat satu jenis sahaja keahlian di dalam PAS, iaitu dinamakan Ahli PAS. Untuk menjadi ahli PAS, seseorang itu mestilah Warganegara Malaysia, beragama lslam, akil baligh menurut hukum syarak, menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS dan peraturan, arahan-arahan serta keputusan-keputusan parti dari masa ke semasa.
Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh menjadi ahli PAS tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Canselor universiti berkenaan.
Permohonan menjadi ahli PAS hendaklah dibuat melalui Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli atau jika ada sesuatu sebab yang munasabah, maka permohonan bolehlah dilakukan terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun Setiausaha Agung PAS.
Seseorang ahli PAS boleh berhenti atau diberhentikan daripada menjadi ahli apabila memohon atau mengisytiharkan diri keluar daripada PAS, dipecat atau menyertai mana-mana parti politik yang lain.
Semua ahli-ahli PAS hendaklah taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran lslam yang menjadi dasar PAS, taat dan patuh kepada Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti, melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh parti sedaya upaya yang boleh, menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti, mengamal akhlak lslam, mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti dan menerima PAS sebagai satu-satunya wadah perjuangan lslam bagi diri di dalam negara ini.
Semua ahli PAS berhak memilih atau dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti, berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya, berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti, berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti serta berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.
Antara kewajipan-kewajipan ahli kepada parti selain daripada yang disebutkan tadi termasuklah menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa, melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus, menghadiri mana-mana kursus, tamrin, atau perhimpunan parti sebagaimana yang ditetap dan diarahkan, memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum lslam, memperkuat kedudukan dan menjaga kehormatan parti sama ada di dalam atau di luar negeri. Pada amnya semua ahli hendaklah melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.